Friday, March 12, 2010

Sang Arnab Dan Kura-kura

Suatu ketika dulu, ada seekor arnab dan seekor kura-kura berselisih pendapat tentang siapa yang boleh berlari lebih pantas. Kemudian mereka mengambil keputusan untuk menyelesaikan perselisihan itu dengan mengadakan satu perlumbaan. Mereka bersetuju tentang masa dan jalan-jalan yang bakal dilalui dalam perlumbaan itu. Di suatu hari yang sesuai, perlumbaan tersebut pun dimulakan. Arnab lari selaju-lajunya. Kemudian dia berhenti dan mendapati kura-kura tertinggal jauh di belakang. Arnab pun mengambil keputusan untuk berehat sebentar di bawah sebatang pokok di mana dia akhirnya tertidur dengan nyenyak. Kura-kura mengesot dengan tidak berhenti-henti dan akhirnya dia memenangi perlumbaan itu. Arnab terjaga dari tidur tetapi sudah terlambat kerana kura-kura telah sampai ke garisan penamat.
Pengajaran dari cerita ini ialah “biar pun lambat asalkan berhati-hati memberi pengakhiran yang baik.”

Inilah cerita yang telah disampaikan oleh emak ayah, datuk nenek kita turun temurun sejak dulu. Tapi cerita itu tidak berakhir di situ…ada sesuatu yang lebih menyeronokkan berlaku dan cerita itu disambung lagi…

Arnab sangat kecewa dan dia mengkaji kenapa dia boleh kalah dalam perlumbaan itu. Kemudian dia menyedari bahawa kekalahan itu hanya disebabkan dia terlebih yakin , tidak cermat dan lalai. Sekiranya dia bersikap lebih berhati-hati, tentu dia dapat mengalahkan kura-kura tersebut. Kemudian dia mencabar kura-kura untuk berlumba sekali lagi. Kura-kura bersetuju. Kali ini, arnab lari selaju-lajunya tanpa berhenti sehingga sampai ke garisan penamat dan akhirnya dia menjadi pemenang dalam perlumbaan itu.

Pengajaran dari cerita ini ialah “It’s good to be slow and steady, but it’s better to be fast and reliable.”

Tapi cerita itu tidak berakhir di situ…ada yang lebih menyeronokkan berlaku dan cerita itu disambung lagi…

Selepas kalah dalam perlumbaan itu, kura-kura juga berfikir dan mengkaji. Dia menyedari bahawa dia tidak akan dapat mengalahkan arnab jika perlumbaan itu diadakan melalui jalan-jalan yang sama. Kemudian dia mencabar arnab untuk mengadakan satu lagi perlumbaan tapi kali ini perlumbaan itu harus mengikut jalan-jalan yang lain. Arnab bersetuju. Perlumbaan pun dimulakan. Arnab berlari selaju-lajunya tanpa berhenti sehingga dia sampai di sebatang sungai yang lebar. Dia tidak ada cara untuk menyeberangi sungai itu bagi menamatkan perlumbaan. Arnab berjalan mundar-mandir di situ sambil berfikir apa yang harus dilakukannya untuk sampai ke garisan penamat di seberang sungai tersebut. Sementara itu, kura-kura sampai di situ dan dengan mudah sekali dia berenang menyeberangi sungai tersebut. Akhirnya kura-kura memenangi perlumbaan itu.

Pengajaran dari cerita ini ialah “hendaklah mencari kekuatan dan keistimewaan diri sendiri terlebih dahulu kemudian tukar strategi mengikut kekuatan dan keistimewaan tersebut bagi mencapai sesuatu kejayaan.”
Owhh cerita ini belum habis lagi…ada yang sangat menyeronokkan berlaku dan cerita itu disambung lagi begini….
Disebabkan tiga perlumbaan sebelum ini, arnab dan kura-kura telah menjadi kawan baik. Mereka membuat kajian dan berfikir bersama-sama. Kedua-duanya mengambil keputusan untuk mengadakan perlawanan terakhir tetapi kali ini mereka akan berlumba secara berpasukan. Perlumbaan pun dimulakan. Arnab membawa kura-kura lari sepantas mungkin tanpa berhenti sehingga sampai ke tebing sungai. Di sini, kura-kura pula mengambil alih. Dia berenang menyeberangi sungai tersebut dengan membawa arnab di belakangnya. Apabila tiba di seberang sana, arnab lagi sekali membawa kura-kura berlari sehingga mereka sama-sama sampai ke garisan penamat. Di dalam perlumbaan terakhir ini, kedua-duanya sangat berpuas hati jika dibandingkan dengan perlumbaan-perlumbaan sebelum ini.
Pengajaran dari cerita ini ialah “adalah bagus untuk menjadi individu yang cerdik tetapi adalah lebih bagus jika kita bekerjasama dalam satu pasukan kerana di dalam bidang yang kita tidak berkemahiran, ia akan ditampung oleh orang lain yang berkemahiran dalam bidang tersebut.”
Perhatikan dalam cerita di atas, kura-kura dan arnab masing-masing tidak berputus asa. Mereka sentiasa berusaha keras untuk memenangi perlumbaan demi perlumbaan walaupun ada ketikanya mereka terpaksa menukar strategi perlumbaan.
Melalui cerita di atas juga, kita mendapat satu lagi pengajaran yang berguna. Apabila kita berhenti berlumba untuk mengalahkan seseorang dan memulakan perlumbaan untuk mengubah situasi, kita boleh melakukan yang terbaik dan mencapai yang terbaik.
Samalah juga dalam kehidupan,tidak kisahlah anda sedang berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang,mengumpul duit,mencari pekerjaan impian,mencari teman hidup,menjadi hartawan atau ingin berjaya dunia dan akhirat,anda mungkin gagal untuk pertama kali.Jadi kita perlu berusaha dengan lebih giat lagi malah ada ketikanya kita perlu menukar strategi dan mencuba sesuatu yang baru dan berbeza. Ada kalanya kita perlu meletakkan usaha dan strategi yang berbeza itu bergandingan agar kita mendapat hasil yang memuaskan.

0 comments: